Selamat Datang Ke Blog Kami :)

Saturday, 11 May 2013

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA


PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA

Pendekatan Holistik
Tujuan  pendekatan ini adalah untuk mengembangkan potensi individu dalam suasana pembelajaran yang lebih menyenangkan. Pelajar diharapkan dapat menjadi dirinya sendiri (learning to be). Pelaksanaan mengajar membaca secara holistik perlu bermula diperingkat awal membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuklah pelajar, guru,ibu bapa dan masyarakat sebagai usaha memperoleh manfaat sepenuhnya.
 Teks yang digunakan dalam bahan bacaan ialah teks autentik iaitu teks dalam bentuk penerbitannya yang sebenar. Pergantungan semata-mata pada buku teks di dalam kelas akan mengehadkan pembacaan terhadap bahan yang tidak lengkap dan telah diubahsuai dengan keperluan dan kepadatan ruang dalam buku teks tersebut. Jadi, guru haruslah menggunakan buku dalam bentuk penerbitan supaya pelajar dapat menghalusi pemikiran penulis lebih mendalam.

Pendekatan Whole Language
Pandangan tentang belajar dan cara mendorong proses tersebut agar pelajar  dapat membaca secara efektif dan efisien sehingga mencapai hasil optimal (Weaver, 1990). Satu pendekatan dalam pengajaran bahasa dikembangkan berdasarkan pelbagai wawasan dan hasil penelitian dari pelbagai bidang ilmu antara lain pemerolehan bahasa dan pengembangan membaca dan menulis dan lain lagi.(Goodman,1986).
Guru melaksanakan kurikulum yang sudah dirancang dan disiapkan secara terperinci. Murid akan memahami informasi yang disampaikan oleh guru secara langsung. Murid secara aktif  dapat memahami dan menghayati pemahaman dan penghayatan prose pembacaan.
Antara kaedah mengajar membaca adalah seperti membaca bebas,  membaca secara berkoperatif,  membaca dengan panduan guru,  berkongsi membaca,  dan membaca lantang.  Ketika membaca bebas merupakan keadaan di mana pelajar terlebih dahulu membaca keseluruhan bahan bacaan yang mereka pilih.  Pelajar berpeluang membaca bahan yang dipilih daripada sekumpulan bahan yang disediakan oleh guru manakala aktiviti bacaan yang dijalankan dalam bilik darjah dikawal oleh guru seberapa minimum.  Perkara yang perlu ditegaskan dalam kaedah ini adalah arahan awal supaya pelajar membuat persediaan awal sebelum membaca seperti menyediakan soalan-soalan sebelum,  ketika dan sesudah membaca sendiri.

Pendekatan dalam Mengajar Membaca Secara Berpusatkan Pelajar
Merupakan kaedah untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutama dalam aspek membaca dan menggalakkan pelajar menjadi aktif dan tidak pasif.
 Guru merupakan seorang pemimpin  yang memandu para pelajar menjalankan pendekatan dalam membaca sama ada secara berkumpulan atau individu.
 Pendekatan ini tidak bermakna pelajar akan menentukan apa yang ingin dipelajari atau lakukan tetapi, pendekatan ini boleh diinterpritasikan dengan pelajar memilih tajuk bacaan, kaedah membaca yang mereka ingin gunakan serta aktiviti yang mereka ingin lakukan.

Prinsip Mengajar Membaca Berpusatkan Pelajar
Daya berfikir, minat dan perbezaan individu pelajar merupakan pertimbangan utama dalam proses mengajar membaca. Aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran dirancang untuk melibatkan pelajar secara aktif, dimana guru hanya sebagai fasilitator. Pembelajaran terarah kendiri dan akses kendiri diberi keutamaan. Penekanan diberikan terhadap penilaian kendiri.

Penampilan Literasi dan Penguasaan Bahasa
Konsep penampilan literasi telah dicetuskan daripada pelbagai kajian yang dijalankan oleh M.M.Clay (1967), iaitu seorang tokoh dari New Zealand. Menjalankan kajian yang menekankan aspek penguasaan bahasa dan tabiat membaca pada peringkat awal kanak-kanak hinggalah awal remaja. Kanak-kanak membina kemahiran membaca dan menulis tanpa titik permulaan atau pengakhiran. Kedua-dua kemahiran ini terbina secara serentak dan saling bergantung antara satu sama lain tanpa urutan yang tertentu. Proses bermula sebelum memasuki alam persekolahan, diperoleh melalui pengalaman dan aktiviti di sekeliling. Pembelajaran ini melibatkan proses komunikasi seperi membaca, menulis, bertutur, mendengar dan berfikir.
          Kanak-kanak akan menguasai tatabahasa asas bahasa ibundanya sebelum mencapai usia tiga tahun. Wujud perbezaan berbahasa antara kanak-kanak. Secara semulajadinya manusia mempunyai kemampuan untuk menguasai bahasa kerana terdapatnya sejenis alat dalam tubuh iaitu alat untuk menguasai bahasa Language Acquisition Device (LAD).
          Dari sudut kognitif, kanak-kanak menguasai bahasa secara berperingkat. Halliday (1975) pula berpendapat, penguasaan bahasa merupakan satu proses aktif yang berlaku apabila kanak-kanak cuba menggunakan bahasa yang betul menerusi kemampuannya membuat penelahan.

Kesediaan Membaca
Kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan perlu memiliki kesediaan untuk membaca dan belajar. Hal ini demikian kerana ramai kanak-kanak yang apabila memasuki tahun satu sudah mengenal huruf dan tahu membaca, namun sesetengah daripada mereka telah sampai tahun masih tidak dapat membaca dan menulis dengan baik. Di sini akan timbul persoalan apakah kanak-kanak ini tidak mempunyai kemampuan untuk belajar membaca ataupun memerlukan masa lagi untuk belajar membaca.




PEMILIHAN BAHAN BACAAN


PEMILIHAN BAHAN BACAAN 

Pemilihan bahan bacaan sangat penting terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran oleh guru. Bahan bacaan yang sesuai perlu dipilih supaya sesuai dengan pelajar dari pelbagai aspek terutama sekali intelek pelajar. Bahan bacaan yang tidak sesuai digunakan oleh guru untuk pembelajaran akan menyebabkan wujud masalah dalam bacaan. Di samping itu, kita sedia maklum bahawa pada masa kini ramai yang menghadapi masalah dalam membaca dan menyebabkan sistem pembelajaran menjadi terhenti. Namun begitu, kita tidak boleh menyalahkan mereka sahaja seperti kecerdasan intelek yang lemah dan banyak lagi walhal kadang kala bahan bacaan yang digunakan itu tidak sesuai diberikan kepada meraka.
          Oleh itu, kebolehbacaan dijadikan salah satu cara untuk memilih bahan bacaan yang sesuai untuk murid. Kebolehbacaan menitik beratkan pemilihan bahan yang akan digunakan oleh guru kepada pelajar. Memetik kata-kata Dale dan Chall (1974), kebolehbacaan merupakan campuran interaksi antara perkara-perkara yang terkandung dalam bahan cetak  yang memberi kesan kejayaan terhadap pembaca. Kejayaan yang dicapai berpunca daripada keupayaannya memahami kandungan bahan yang dibaca, kebolehan membaca dengan pantas dan mendapati bahan tersebut sangat menarik.
          Klare pula menyatakan ‘kebolehbacaan’ digunakan dengan tiga pengertian, iaitu:
a.   Untuk menunjukkan tulisan yang jelas serta mudah dibaca sama ada tulisan tangan atau tulisan ditaip.
b.   Untuk menunjukkan keselesaan membaca kerana menimbulkan minat atau sedap dibaca.
c.    Untuk menunjukkan keselesaan memahami kerana gaya penulisan yang digunakan.
Secara keseluruhannya, kebolehan membaca dapat mengurangkan pelajar yang tidak dapat membaca dan sesuatu bahan berbeza-beza bergantung kepada tahap penerimaan murid.

Faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi dalam kebolehbacaan atau kebolehan membaca. Antara faktor tersebut ialah:

a. Faktor diri pembaca
Kecerdasan mental pelajar dan kebolehan pelajar dalam membaca saling berkaitan kerana individu yang mempunyai kecerdasan mental yang tinggi cepat memahami teks yang dibaca berbanding pelajar yang kecerdasan mental yang lemah. Hal ini demikian kerana pelajar yang cerdas akan memberi perhatian sepenuhnya kepada bahan bacaan semasa proses membaca. Pelajar yang cerdas pastinya dapat mengingati setiap perkara yang dibaca kerana mereka cepat memahami teks yang dibaca. Kajian yang dibuat oleh pakar dalam bidang ini menunjukkan bahawa pelajar yang cerdas mempunyai pemahaman yang sangat baik berbanding pelajar lain. Di samping itu, pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada juga turut membantu pelajar memahami kandungan teks yang dibaca dengan baik.

b. Faktor tulisan
    Penggunaan tulisan juga mempengaruhi dalam bahan bacaan. Tulisan yang baik dan jelas akan menarik minat pembaca untuk membaca bahan tersebut. Pelbagai aspek yang perlu dikaji dalam penulisan dari segi tulisan. Aspek tersebut mengambil kira saiz tulisan, jenis tulisan, kekemasan tulisan, jarak tulisan, warna tulisan, saiz muka surat dan banyak lagi. Aspek tersebut mempengaruhi kebolehbacaan bahan yang ada. Walaupun tulisan yang kemas dan tersusun tetapi jika tulisan tersebut terlalu kecil akan menyebabkan pembaca tidak boleh membaca apatah lagi untuk memahami teks tersebut. Oleh itu, faktor tulisan sangat penting dalam kebolehan membaca.

c. Faktor psikologi
Psikologi merupakan kajian mengenai proses mental dan pemikiran pembaca. Minat dan motivasi pembaca mempunyai peranan yang besar dalam memupuk tabiat serta keupayaan membaca. Minat yang mendalam ke atas bahan bacaan memudahkan seseorang memahami teks tersebut semasa proses membaca berlaku. Guru dapat mendorong pelajar dalam pemupukan minat membaca, iaitu:
                             i.     Menunjukkan kepentingan membaca dalam kehidupan
                           ii.     Menentukan pemilihan bahan, alatan, kaedah, teknik bacaan yang sesuai.
                         iii.     Memberikan ganjaran yang sesuai dalam pembelajaran.
                       iv.     Menggalakkan aktiviti bercerita dan berkongsi pengalaman daripada bahan bacaan.

d. Faktor pembendaharaan kata
Pembendaharaan kata mempengaruhi kebolehbacaan kerana seseorang yang mempunyai pembendaharaan kata yang kurang akan menyukarkan proses pembacaan kerana pembaca tidak dapat memahami teks tersebut. Di samping itu, Harisson (1980) mengatakan kesukaran teks apabila perkataan yang panjang serta kekerapan perkataan tersebut seperti perkataan “interprestasi” dan sebagainya. Perkataan yang panjang selalunya perkataan yang jarang digunakan dalam teks atau mungkin istilah-istilah tertentu mengikut bidang. Oleh itu, pembaca tidak mengetahui maknanya kerana kekerapan perkataan tersebut dijumpai dalam teks.

e. Faktor komuniti
Komuniti yang berbeza-beza juga memberi pengalaman yang berlainan dalam membentuk pengetahuan asas individu. Bagi membezakan tahap pembacaan. Pembaca perlu menggabungkan pengetahuan yang sedia ada dengan nilai yang ada dalam komuniti dari perspektif yang tersendiri. Sebagai contoh, komuniti yang berada di luar bandar berbeza dengan komuniti yang berada di bandar kerana pengalaman yang dilalui berbeza-beza. Begitu juga, komuniti yang wujud di kawasan setinggan dengan komuniti di kawasan taman perumahan walaupun kedua-duanya berada di bandar. Lebih banyak pengalaman dalam komuniti serta penglibatan dalam aktiviti, semakin kaya pengetahuan latar pembaca.

f.    Faktor ilustrasi dan warna
Ilustrasi dan warna dapat meningkatkan atau menurunkan tahap kebolehbacaan bahan bergantung kepada cara persembahan dan penggunaan dalam bahan bacaan. Ilustrasi dan warna dapat menarik minat pelajar untuk membaca, contohnya nota atau bahan bacaan yang berwarna-warni lebih memberi semangat untuk kita membaca nota tersebut serta mudah untuk menghafal berbanding bahan bacaan yang hanya mempunyai satu warna sahaja. Ilustrasi juga boleh membantu meningkatkan kefahaman pembaca terhadap sesuatu konsep.

g. Faktor sekolah
Persekitaran sekolah mempengaruhi kebolehbacaan pelajar juga. Sekolah yang menyediakan persekitaran yang sesuai untuk membaca akan menggalakkan pelajar untuk membaca dari segi psikologi supaya mereka gemar membaca. Peranan guru dalam mengendalikan bilik darjah sangat mempengaruhi minat membaca, iaitu:
                                  i.          Pemilihan bahan
                                ii.          Jenis soalan yang ditanya
                              iii.          Jenis maklum balas yang diberi
                            iv.          Suasana pembelajaran
                              v.          Dorongan
                            vi.          Pengukuhan yang digunakan.
















Tuesday, 7 May 2013

MASALAH DALAM MEMBACA DAN KESANNYA



MASALAH DALAM MEMBACA

Masalah dalam bacaan bukanlah satu isu baharu.  Namun demikian masalah ini tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.  Seluruh sistem pembelajaran murid akan lumpuh seandainya mereka menghadapi masalah dalam bacaan.  Masalah dalam bidang bacaan ini amat luas iaitu masalah dari aspek murid dan dari aspek bahan bacaan.  Masalah dari aspek murid boleh dilihat dari segi intelek,  psikologi,  fizikal dan persekitaran.  Faktor intelek murid mengambil kira aspek-aspek seperti kecerdasan,  kebolehan bahasa,  pengetahuan dan pengalaman sedia ada.  Faktor psikologi pula memperlihatkan pengaruh minat,  motivasi dan konsep kendiri.  Faktor fizikal pula memberi tumpuan kepada daya penglihatan dan daya pendengaran muri-murid.  Manakala faktor persekitaran berkaitan lokasi di mana murid itu berada iaitu sama ada di rumah atau di sekolah.
          Selain faktor murid,  faktor bahan bacaan juga menjadi masalah dalam bidang bacaan.  Faktor bahan bacaan ini akan melihat sudut penyediaan bahan bacaan itu sendiri misalnya aspek perbendaharaan kata,  panjang pendek ayat,  isi,  struktur cerita,  penggunaan dan organisasi bahan grafik.  
 
Faktor-Faktor Masalah Membaca

·        Kaedah Pengajaran Guru
Kaedah pengajaran guru merupakan salah satu punca berlakunya masalah membaca dalam kalangan murid. Masalah dalam kaedah pengajaran guru berpunca daripada tiga punca utama, iaitu kurang pengalaman, penggunaan kaedah pengajaran membaca secara beramai-ramai dan individu, dan tidak ada kaedah yang berkesan dalam pengajaran membaca.

·        Faktor Persekitaran
Faktor seterusnya yang dikenal pasti punca berlakunya masalah membaca dalam kalangan murid ialah persekitaran yang tidak kondusif. Terdapat tiga faktor persekitaran yang menyebabkan masalah ini berlaku, iaitu keluarga, sekolah, dan rakan.
                    i.            Persepsi ibu bapa juga begitu lebih mementingkan subjek seperti Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris mereka sanggup menghantar anak-anak mereka belajar (tuisyen) untuk subjek tersebut tetapi tidak pada bahasa Melayu yang mereka anggap mudah lulus dan kurang penting, tetapi sebaliknya anak-anak bukan Melayu pula (kebiasaannya orang Cina) pula yang menghantar anak-anak mereka belajar/tuisyen bahasa Melayu kerana subjek ini penting untuk mendapatkan biasiswa.
                  ii.            Faktor sekolah juga adalah penyumbang kepada masalah ini. Contohnya masalah membaca ini sepatutnya sudah selesai atau tidak lagi ada bagi murid darjah 6. Pada masa ini guru lebih fokus kepada murid untuk menghadapi peperiksaan UPSR, guru tidak lagi banyak menumpukan perhatian kepada mengajar membaca murid-murid yang lemah ini, kerana bagi mereka murid darjah 6 ini mesti lulus peperiksaan UPSR ini nanti. Caranya saja ialah murid yang lemah ini diajar oleh guru-guru lain khusus untuk membaca sahaja. Sepatutnya mengatasi kelemahan membaca ini sudah bermula sejak murid itu dikenal pasti lemah membaca itulah. Kerana pada Darjah 1, 2 atau 3 mereka ini sepatutnya sudah mantap dengan kemahiran membaca. Jadi bila mereka berada di darjah 4, 5 dan 6 tumpuan guru hanya kepada pengajaran mata pelajaran seperti  Matematik, Sains, Geografi, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

·        Faktor Psikologi
Minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami proses pembacaannya. Terdapat dua faktor yang berkaitan dengan psikologi, iaitu kurang minat belajar dan kurang mengambil perhatian semasa belajar. Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan murid. Tumpuan belajar daripada murid itu kurang, misalnya semasa pengajaran di bilik darjah murid-murid seperti ini kurang mengambil perhatian terhadap pengajaran yang disampaikan oleh guru. Perkara ini juga berkait rapat dengan sikap dan tabiat belajar murid berkenaan. Murid yang
pandai membaca mempunyai sikap dan tabiat rajin belajar berbanding dengan
murid yang lemah membaca ini.

·        Faktor Individu
Faktor individu berkait rapat dengan kecerdasan dan kebolehan membaca. Murid-murid yang mempunyai kecerdasan yang tinggi selalunya berpeluang memahami dengan cepat bahan bacaan yang dibaca berbanding murid yang lemah membaca. Faktor individu ialah faktor yang berkaitan dengan kecerdasan murid lemah dalam pembelajaran dan membaca. Murid-murid ini juga mempunyai ingatan yang lemah dan tidak dapat mengingat maklumat dan apa yang telah dipelajari dalam jangka masa yang panjang. Bagi sebilangan subjek guru, faktor kecerdasan murid atau individu adalah berkait rapat dengan kebolehan membaca mereka. Kecerdasan murid yang rendah menjadikan individu berkenaan tidak boleh mengingati apa yang dipelajari untuk jangka masa panjang dan menyebabkan murid-murid ini membuat tanggapan yang meleset dari apa yang telah dipelajari.

·        Teks yang Digunakan
Secara tradisi, variasi dalam pembacaan murid berpunca daripada jenis teks yang dibaca. Pengaruh teks terhadap pembaca adalah sangat kompleks. Teks yang mudah dan menarik memudahkan pembaca, membaca dan memahami isi kandungan teks tersebut. Sebaliknya, jika teks yang dibaca terlalu tinggi bahasanya, banyak teks,  tulisan yang kecil dan lain-lain boleh mengganggu pembacaan pembaca. Terdapat dua perkara utama yang berhubung kait dengan faktor teks, iaitu tidak menarik dan sukar difahami. Teks yang tidak menarik adalah berkaitan dengan isi kandungan atau bahan cerita yang sudah terlalu lama dan kurang sesuai dengan keadaan semasa murid. Cerita yang terdapat dalam teks berkenaan sudah lama, perlu diperbaharui dan disesuaikan dengan keadaan dan kehendak pada murid masa kini. Di samping itu, sebahagian kandungan teks bacaan tersebut terlalu panjang dan sukar difahami murid. Kandungan teks berkenaan kurang sesuai dengan kebolehan murid, terutama murid yang masih rendah tahap kemahiran membaca mereka.

·        Masa Pengajaran
Faktor masa pengajaran bermaksud masa pengajaran membaca yang diperuntukkan terlalu singkat dan tidak mencukupi. Peruntukan masa pengajaran membaca yang terlalu singkat ini tidak banyak membantu murid tahap kecerdasan sederhana dan lemah untuk menguasai kemahiran membaca. Contohnya, bagi guru masa 30 minit itu tidak mencukupi, sepatutnya masa membaca itu biarlah mengambil masa yang panjang terutama bagi murid darjah 1, 2 dan 3 sebab membaca adalah asas. Jadi pada peringkat asas kemahiran membaca atau apa saja kemahiran perlu dikukuhkan terlebih dahulu sebelum mereka ini pergi lebih jauh lagi dengan mempelajari banyak mata pelajaran dan mempelajari bahasa Inggeris. Keadaan ini kurang diambil perhatian berat oleh pihak kementerian. Bila dilihat pada bebanan subjek darjah 1, 2 dan 3 terlampau banyak sehingga lapan mata pelajaran. Jadi tumpuan kanak-kanak untuk mengukuhkan kemahiran membaca dan lain-lain kemahiran itu terbatas disebabkan bebanan subjek yang banyak yang harus mereka kuasai.

Kesan Masalah Membaca
        i.            Gagal dalam Peperiksaan
Kegagalan murid membaca dengan baik seringkali dikaitkan dengan kegagalan dalam peperiksaan. Kegagalan dalam peperiksaan ini banyak dipengaruhi oleh kesukaran murid-murid untuk memahami isi kandungan pelajaran yang dipelajari disebabkan oleh kegagalan mereka membaca dengan baik. Senario yang wujud bila murid gagal dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR,SPM ialah kita akan mendengar orang mengatakan murid atau pelajar itu gagal kerana faktor yang utama ialah lemah membaca. Memang diakui membaca adalah kunci utama dalam pembelajaran, tanpa ada kemahiran membaca memang pembelajaran murid akan menjadi pincang.

      ii.            Menjejaskan Pembelajaran Mata Pelajaran Lain
Murid yang menghadapi masalah membaca ini juga didapati berhadapan dengan masalah untuk menguasai mata pelajaran lain selain Bahasa Melayu. Akibat daripada kelemahan menguasai kemahiran membaca ini, pencapaian mereka terhadap mata pelajaran lain seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Geografi juga terjejas. Kegagalan menguasai kemahiran membaca di peringkat rendah sangat menyukarkan murid ini untuk meneruskan pelajaran. Sebagai contoh, murid-murid yang berada di Darjah 6 ini tumpuan mereka adalah menguasai semua mata pelajaran yang ada di peringkat ini, tetapi adalah malang bagi sebahagian kecil murid yang lemah kemahiran membaca, mereka tidak dapat menumpukan sepenuhnya terhadap semua mata pelajaran di peringkat ini kerana mereka bergelut dengan kelemahan untuk memahami isi pelajaran tersebut kerana mereka ini lemah menguasai membaca. Akibat dari ini juga banyak masa digunakan untuk membimbing murid yang lemah ini.

    iii.            Sukar Menghadapi Peperiksaan
Murid yang lemah membaca nanti akan berhadapan dengan kesukaran menjawab soalan sebab kelemahan membaca mereka. Dengan sendiri apa yang diajarkan ataupun apa juga bentuk-bentuk latihan dan ujian murid yang lemah membaca ini akan terkandas. Misalnya dalam pelajaran pemahaman karangan jika mereka lemah membaca sudah tentu mereka ini tidak dapat menjawab dengan baik soalan kefahaman berkenaan. Ini kerana, dari segi bahasa murid berkenaan harus menguasai kemahiran membaca yang kukuh dahulu. Jika mereka ini lemah membaca maka sudah tentu mereka ini menghadapi kesukaran untuk menjawab sebarang soalan sama ada ujian atau peperiksaan sebab mereka tidak faham tentang isi soalan dan arahan ujian atau peperiksaan tersebut. Sebab pengukuran kemajuan seseorang murid itu lebih banyak melalui ujian dan peperiksaan.

  iv.            Kesan Psikologi
Minat dan motivasi sangat dominan dan berperanan dalam membina tabiat suka membaca. Di samping itu, dorongan dan pemupukan minat perlu ditanamkan oleh guru, ibu bapa serta komuniti setempat. Minat yang tinggi terhadap membaca membolehkan individu tersebut berjaya dalam kehidupannya. Kesan psikologi itu berkaitan dengan minat, semangat, emosi dan sikap murid. Murid yang lemah menguasai kemahiran membaca akan menghadapi berbagai-bagai impak psikologi.

    v.            Kedudukan Bilangan di Dalam Kelas
Antara impak yang jelas dan mudah dilihat ialah apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan murid, yang bermasalah membaca selalu berada di kedudukan terkebelakang di dalam kelas. Murid bermasalah membaca ini seringkali mendapat nombor penghabisan. Punca berlakunya perkara ini adalah disebabkan mereka lemah dalam pelajaran. Kelemahan dalam pelajaran ini berpunca daripada tidak dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik. 









BELAJAR MEMBACA


BELAJAR MEMBACA

Ketika dalam proses membaca mata memainkan peranan yang sangat penting.  Mata berfungsi merakamkan maklumat yang bercetak untuk diproses di dalam otak.  Maklumat yang disimpan ini kemudiannya dipanggil maklumat visual.  Otak menggunakan maklumat visual untuk mentafsir makna sementara maklumat visual yang dirakam oleh mata itu tadi akan ditafsir dalam otak.
          Untuk memproses maklumat visual ia memakan masa dan had masa yang diperlukan bergantung pada berapa banyak maklumat yang diperlukan.  Proses ini juga bergantung pada berapa banyak pilihan yang perlu dibuat oleh otak.  Hal ini bermakna had laju kita mengenali sesuatu bergantung pada bilangan pilihan yang ada. 
          Apabila kita membaca mata kita bergerak dengan cara melompat-lompat.  Istilah teknikal untuk kejadian ini adalah ginjatan (saccades).  Antara ginjatan terdapat satu tempoh yang dipanggil penetapan.  Untuk merakamkan apa yang berlaku ketika seseorang itu sedang membaca,  sebuah alat iaitu ‘eye tracker’ boleh digunakan.  Masa yang lam diperlukan untuk penetapan kata dasar.  Manakala perkataan yang lebih kompleks mengambil masa yang lebih panjang untuk penetapan dan berlaku pengesanan perkataan ke belakang.  Tempoh penetapan penting kerana pada ketika inilah maklumat diperoleh daripada teks.  Manakala semasa ginjatan,  tiada maklumat yang dirakam.  Tempoh penetapan sesuatu perkataan bergantung pada tiga faktor iaitu faktor kesan kepanjangan,  kesan kekerapan dan kesan konteks.
          Setelah mata merakam maklumat visual teks bacaan,  proses selanjutnya ialah pengecaman kata.  Proses pengecaman kata ini berlaku di dalam otak.  Pengecaman perkataan mengikut kaedah fonetik melibatkan pentafsiran bunyi yang dibuat oleh satu huruf tertentu atau gabungan huruf.  Manakala cara pengecaman seluruh perkataan melibatkan pengecaman perkataan secara keseluruhan.
          Setelah mengecam perkataan,  langkah seterusnya dalam bacaan ialah memahami makna.  Kita belajar memahami makna melalui pengalaman.  Semasa kita membaca satu ayat,  perkataan dan frasa yang kita temui,  secara tidak langsung kita telah mengaktifkan daya ingatan yang membenarkan kita untuk memahami makna.  Kejadian ini dikenali sebagai mencari makna.  Mencari makna ialah kesan yang memudahkan makna diberikan kepada kata yang telah dicam terlebih dahulu.  Kajian mengenai mencari makna ini menemukan satu perkara penting dalam proses membaca iaitu model minda (mental model).  Andaian boleh dibuat,  apabila pembaca menjumpai satu perkataan baru,  mereka akan bertindak membina model mental berkaitan perkataan tersebut dengan bantuan model-model yang sedia ada wujud dalam daya ingatan mereka.
          Menurut Smith (1990),  kata yang dilihat dalam bentuk tulisan itu ialah struktur permukaan bahasa iaitu berbentuk penulisan.  Manakala struktur dalaman pula berkait rapat dengan makna yang dibawa kepada bentuk tulisan yang dapat dilihat oleh otak tadi.  Smith juga berpendapat bahawa bukan perkataan yang membawa makna kepada ayat tetapi ayat yang memberi makna kepada perkataan.  Makna juga dibina secara keseluruhan apabila pembaca dapat menggunakan kiu yang terdapat dalam ayat.  Kiu ialah penanda yang membantu dalam pembacaan.  Sistem kiu terdiri daripada sistem kiu grafik,  sistem kiu sintaksis,  dan sistem kiu semantik.  Sistem kiu grafik merujuk kepada hubungan huruf-bunyi atau grafem-fonem,  bentuk perkataan,  perkataan yang sudah diketahui berbanding dengan perkataan baharu,  imbuhan awalan, akhiran dan kedua-dua sekali,  pola ejaan,  faktor legibility dan ilustrasi.  Sementara sistem kiu sintaksis merujuk kepada pola ayat dan susunan kata dalam ayat (subjek dan predikat),  kata berfungsi,  pola intonasi,  konteks tatabahasa,  dan tanda bacaan.  Kiu semantik fokusnya terarah kepada kebolehan berbahasa,  perbezaan dialek,  faktor fisiologi,  kemahiran tanggapan pembaca,  pengalaman intelek dan konsepsi pelajar dan faktor fizikal,  sosial juga emosi.

Tahap awal membaca
Peringkat asas membaca:
i.                    Menyuburkan dan memperkembangkan kesedaran membaca
ii.                  Mendirikan asas belajar membaca
iii.                Menyuburkan pembelajaran membaca yang pesat
iv.              Membaca dengan banyak
v.                Meneliti pembacaan

Punca kanak-kanak gagal untuk membaca walaupun telah diajar dengan baik:
i.                    Masalah tidak mengenal huruf (bentuk,  nama dan bunyi sama ada huruf vokal atau konsonan)
ii.                  Masalah tidak dapat mengeja dan membaca suku kata.
iii.                Masalah tidak berkebolehan meramal perbendaharaan kata daripada perkataan yang dieja.
iv.              Masalah kesihatan seperti rabun,  masalah pendengaran,  emosi terganggu,  terencat akal,  kecacatan otak dan sebagainya.
v.                Masalah pembalikan huruf.

Faktor kebolehbacaan (Shahrin Ismail,  2009)
i.                    Kebolehan pergerakan mata yang baik
ii.                  Kebolehan mengenal rupa bentuk asas huruf
iii.                Kebolehan mengenal pasti dengan tetap huruf atau simbol yang dilihat

Proses dan kaedah belajar membaca (Shahrin Ismail:2009)
i.                    Pengecaman
ii.                  Asimilasi
iii.                Integrasi dalaman
iv.              Integrasi tambahan
v.                Retensi
vi.              Mengingat kembali
vii.            Komunikasi

Pengecaman
a)  melibatkan pengecaman simbol atau huruf
b)  mementingkan pengetahuan tentang abjad
c)   langkah ini berlaku segera apabila bermulanya proses membaca
Asimilasi
a)  Melibatkan pencernaan segala perkara yang dilihat,  didengar dan dialami.

Integrasi Dalaman
a)  Melibatkan pengetahuan tentang apa yang tertulis

Integrasi Tambahan
a)  Melibatkan pemahaman dengan sepenuhnya apa yang dibaca
b)  Pembaca menggunakan pengetahuannya yang terdahulu untuk dihubungkaitkan dengan apa yang dibaca.
Retensi
a)  Melibatkan penyimpanan maklumat asas

Mengingat kembali
a)  Melibatkan keupayaan mengingati kembali maklumat yang telah disimpan
b)  Merupakan kemampuan untuk mengingat semula atau mengeluarkan semula maklumat tersebut apabila diperlukan.

Komunikasi
a)  Proses ini berkaitan dengan menggunakan maklumat yang diperoleh dengan segera.
b)  Komunikasi penting kerana ia melibatkan proses berfikir.

Kaedah belajar membaca
Terdapat dua kaedah yang digunakan untuk belajar membaca.  Kaedah tersebut adalah seperti berikut iaitu:
i.             Kaedah Fonik
-         Memperkenalkan huruf A hingga Z
-         Memperdengarkan bunyi bagi setiap huruf dengan tepat
-         Memperkenalkan huruf bersama bunyinya sekali dalam konteks perkataan
-         Apabila sudah berjaya menyebutnya dengan tepat dan jelas,  baharulah disuruh membaca senyap (baca dalam hati)
-          
ii.           Kaedah Lihat-Sebut
-         Masih bergantung pada perkataan atau respon lisan
-         Pada mulanya ditunjukkan gambar
-         Contoh,  guru menunjukkan kad bacaan dan meminta pelajar menjawab apa-apa yang tertera di atas kad