Selamat Datang Ke Blog Kami :)

Tuesday, 7 May 2013

MASALAH DALAM MEMBACA DAN KESANNYA



MASALAH DALAM MEMBACA

Masalah dalam bacaan bukanlah satu isu baharu.  Namun demikian masalah ini tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.  Seluruh sistem pembelajaran murid akan lumpuh seandainya mereka menghadapi masalah dalam bacaan.  Masalah dalam bidang bacaan ini amat luas iaitu masalah dari aspek murid dan dari aspek bahan bacaan.  Masalah dari aspek murid boleh dilihat dari segi intelek,  psikologi,  fizikal dan persekitaran.  Faktor intelek murid mengambil kira aspek-aspek seperti kecerdasan,  kebolehan bahasa,  pengetahuan dan pengalaman sedia ada.  Faktor psikologi pula memperlihatkan pengaruh minat,  motivasi dan konsep kendiri.  Faktor fizikal pula memberi tumpuan kepada daya penglihatan dan daya pendengaran muri-murid.  Manakala faktor persekitaran berkaitan lokasi di mana murid itu berada iaitu sama ada di rumah atau di sekolah.
          Selain faktor murid,  faktor bahan bacaan juga menjadi masalah dalam bidang bacaan.  Faktor bahan bacaan ini akan melihat sudut penyediaan bahan bacaan itu sendiri misalnya aspek perbendaharaan kata,  panjang pendek ayat,  isi,  struktur cerita,  penggunaan dan organisasi bahan grafik.  
 
Faktor-Faktor Masalah Membaca

·        Kaedah Pengajaran Guru
Kaedah pengajaran guru merupakan salah satu punca berlakunya masalah membaca dalam kalangan murid. Masalah dalam kaedah pengajaran guru berpunca daripada tiga punca utama, iaitu kurang pengalaman, penggunaan kaedah pengajaran membaca secara beramai-ramai dan individu, dan tidak ada kaedah yang berkesan dalam pengajaran membaca.

·        Faktor Persekitaran
Faktor seterusnya yang dikenal pasti punca berlakunya masalah membaca dalam kalangan murid ialah persekitaran yang tidak kondusif. Terdapat tiga faktor persekitaran yang menyebabkan masalah ini berlaku, iaitu keluarga, sekolah, dan rakan.
                    i.            Persepsi ibu bapa juga begitu lebih mementingkan subjek seperti Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris mereka sanggup menghantar anak-anak mereka belajar (tuisyen) untuk subjek tersebut tetapi tidak pada bahasa Melayu yang mereka anggap mudah lulus dan kurang penting, tetapi sebaliknya anak-anak bukan Melayu pula (kebiasaannya orang Cina) pula yang menghantar anak-anak mereka belajar/tuisyen bahasa Melayu kerana subjek ini penting untuk mendapatkan biasiswa.
                  ii.            Faktor sekolah juga adalah penyumbang kepada masalah ini. Contohnya masalah membaca ini sepatutnya sudah selesai atau tidak lagi ada bagi murid darjah 6. Pada masa ini guru lebih fokus kepada murid untuk menghadapi peperiksaan UPSR, guru tidak lagi banyak menumpukan perhatian kepada mengajar membaca murid-murid yang lemah ini, kerana bagi mereka murid darjah 6 ini mesti lulus peperiksaan UPSR ini nanti. Caranya saja ialah murid yang lemah ini diajar oleh guru-guru lain khusus untuk membaca sahaja. Sepatutnya mengatasi kelemahan membaca ini sudah bermula sejak murid itu dikenal pasti lemah membaca itulah. Kerana pada Darjah 1, 2 atau 3 mereka ini sepatutnya sudah mantap dengan kemahiran membaca. Jadi bila mereka berada di darjah 4, 5 dan 6 tumpuan guru hanya kepada pengajaran mata pelajaran seperti  Matematik, Sains, Geografi, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

·        Faktor Psikologi
Minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami proses pembacaannya. Terdapat dua faktor yang berkaitan dengan psikologi, iaitu kurang minat belajar dan kurang mengambil perhatian semasa belajar. Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan murid. Tumpuan belajar daripada murid itu kurang, misalnya semasa pengajaran di bilik darjah murid-murid seperti ini kurang mengambil perhatian terhadap pengajaran yang disampaikan oleh guru. Perkara ini juga berkait rapat dengan sikap dan tabiat belajar murid berkenaan. Murid yang
pandai membaca mempunyai sikap dan tabiat rajin belajar berbanding dengan
murid yang lemah membaca ini.

·        Faktor Individu
Faktor individu berkait rapat dengan kecerdasan dan kebolehan membaca. Murid-murid yang mempunyai kecerdasan yang tinggi selalunya berpeluang memahami dengan cepat bahan bacaan yang dibaca berbanding murid yang lemah membaca. Faktor individu ialah faktor yang berkaitan dengan kecerdasan murid lemah dalam pembelajaran dan membaca. Murid-murid ini juga mempunyai ingatan yang lemah dan tidak dapat mengingat maklumat dan apa yang telah dipelajari dalam jangka masa yang panjang. Bagi sebilangan subjek guru, faktor kecerdasan murid atau individu adalah berkait rapat dengan kebolehan membaca mereka. Kecerdasan murid yang rendah menjadikan individu berkenaan tidak boleh mengingati apa yang dipelajari untuk jangka masa panjang dan menyebabkan murid-murid ini membuat tanggapan yang meleset dari apa yang telah dipelajari.

·        Teks yang Digunakan
Secara tradisi, variasi dalam pembacaan murid berpunca daripada jenis teks yang dibaca. Pengaruh teks terhadap pembaca adalah sangat kompleks. Teks yang mudah dan menarik memudahkan pembaca, membaca dan memahami isi kandungan teks tersebut. Sebaliknya, jika teks yang dibaca terlalu tinggi bahasanya, banyak teks,  tulisan yang kecil dan lain-lain boleh mengganggu pembacaan pembaca. Terdapat dua perkara utama yang berhubung kait dengan faktor teks, iaitu tidak menarik dan sukar difahami. Teks yang tidak menarik adalah berkaitan dengan isi kandungan atau bahan cerita yang sudah terlalu lama dan kurang sesuai dengan keadaan semasa murid. Cerita yang terdapat dalam teks berkenaan sudah lama, perlu diperbaharui dan disesuaikan dengan keadaan dan kehendak pada murid masa kini. Di samping itu, sebahagian kandungan teks bacaan tersebut terlalu panjang dan sukar difahami murid. Kandungan teks berkenaan kurang sesuai dengan kebolehan murid, terutama murid yang masih rendah tahap kemahiran membaca mereka.

·        Masa Pengajaran
Faktor masa pengajaran bermaksud masa pengajaran membaca yang diperuntukkan terlalu singkat dan tidak mencukupi. Peruntukan masa pengajaran membaca yang terlalu singkat ini tidak banyak membantu murid tahap kecerdasan sederhana dan lemah untuk menguasai kemahiran membaca. Contohnya, bagi guru masa 30 minit itu tidak mencukupi, sepatutnya masa membaca itu biarlah mengambil masa yang panjang terutama bagi murid darjah 1, 2 dan 3 sebab membaca adalah asas. Jadi pada peringkat asas kemahiran membaca atau apa saja kemahiran perlu dikukuhkan terlebih dahulu sebelum mereka ini pergi lebih jauh lagi dengan mempelajari banyak mata pelajaran dan mempelajari bahasa Inggeris. Keadaan ini kurang diambil perhatian berat oleh pihak kementerian. Bila dilihat pada bebanan subjek darjah 1, 2 dan 3 terlampau banyak sehingga lapan mata pelajaran. Jadi tumpuan kanak-kanak untuk mengukuhkan kemahiran membaca dan lain-lain kemahiran itu terbatas disebabkan bebanan subjek yang banyak yang harus mereka kuasai.

Kesan Masalah Membaca
        i.            Gagal dalam Peperiksaan
Kegagalan murid membaca dengan baik seringkali dikaitkan dengan kegagalan dalam peperiksaan. Kegagalan dalam peperiksaan ini banyak dipengaruhi oleh kesukaran murid-murid untuk memahami isi kandungan pelajaran yang dipelajari disebabkan oleh kegagalan mereka membaca dengan baik. Senario yang wujud bila murid gagal dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR,SPM ialah kita akan mendengar orang mengatakan murid atau pelajar itu gagal kerana faktor yang utama ialah lemah membaca. Memang diakui membaca adalah kunci utama dalam pembelajaran, tanpa ada kemahiran membaca memang pembelajaran murid akan menjadi pincang.

      ii.            Menjejaskan Pembelajaran Mata Pelajaran Lain
Murid yang menghadapi masalah membaca ini juga didapati berhadapan dengan masalah untuk menguasai mata pelajaran lain selain Bahasa Melayu. Akibat daripada kelemahan menguasai kemahiran membaca ini, pencapaian mereka terhadap mata pelajaran lain seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Geografi juga terjejas. Kegagalan menguasai kemahiran membaca di peringkat rendah sangat menyukarkan murid ini untuk meneruskan pelajaran. Sebagai contoh, murid-murid yang berada di Darjah 6 ini tumpuan mereka adalah menguasai semua mata pelajaran yang ada di peringkat ini, tetapi adalah malang bagi sebahagian kecil murid yang lemah kemahiran membaca, mereka tidak dapat menumpukan sepenuhnya terhadap semua mata pelajaran di peringkat ini kerana mereka bergelut dengan kelemahan untuk memahami isi pelajaran tersebut kerana mereka ini lemah menguasai membaca. Akibat dari ini juga banyak masa digunakan untuk membimbing murid yang lemah ini.

    iii.            Sukar Menghadapi Peperiksaan
Murid yang lemah membaca nanti akan berhadapan dengan kesukaran menjawab soalan sebab kelemahan membaca mereka. Dengan sendiri apa yang diajarkan ataupun apa juga bentuk-bentuk latihan dan ujian murid yang lemah membaca ini akan terkandas. Misalnya dalam pelajaran pemahaman karangan jika mereka lemah membaca sudah tentu mereka ini tidak dapat menjawab dengan baik soalan kefahaman berkenaan. Ini kerana, dari segi bahasa murid berkenaan harus menguasai kemahiran membaca yang kukuh dahulu. Jika mereka ini lemah membaca maka sudah tentu mereka ini menghadapi kesukaran untuk menjawab sebarang soalan sama ada ujian atau peperiksaan sebab mereka tidak faham tentang isi soalan dan arahan ujian atau peperiksaan tersebut. Sebab pengukuran kemajuan seseorang murid itu lebih banyak melalui ujian dan peperiksaan.

  iv.            Kesan Psikologi
Minat dan motivasi sangat dominan dan berperanan dalam membina tabiat suka membaca. Di samping itu, dorongan dan pemupukan minat perlu ditanamkan oleh guru, ibu bapa serta komuniti setempat. Minat yang tinggi terhadap membaca membolehkan individu tersebut berjaya dalam kehidupannya. Kesan psikologi itu berkaitan dengan minat, semangat, emosi dan sikap murid. Murid yang lemah menguasai kemahiran membaca akan menghadapi berbagai-bagai impak psikologi.

    v.            Kedudukan Bilangan di Dalam Kelas
Antara impak yang jelas dan mudah dilihat ialah apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan murid, yang bermasalah membaca selalu berada di kedudukan terkebelakang di dalam kelas. Murid bermasalah membaca ini seringkali mendapat nombor penghabisan. Punca berlakunya perkara ini adalah disebabkan mereka lemah dalam pelajaran. Kelemahan dalam pelajaran ini berpunca daripada tidak dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik. 









No comments:

Post a Comment